PANDUAN PENTING MENGENAI PENGGUNAAN KONDOM DALAM PERANCANGAN KELUARGA
Posted on: Oktober 26, 2023
Kondom merupakan salah satu kaedah kontrasepsi yang sangat popular di Malaysia untuk mengelakkan kehamilan yang tidak diingini dan melindungi daripada penyakit kelamin (STD). Kondom berfungsi dengan menghalang sperma daripada memasuki rahim.
Penggunaan kondom adalah satu langkah yang berkesan dalam perancangan keluarga. Apabila digunakan dengan betul, ia boleh mencapai keberkesanan sebanyak 98% dalam mencegah kehamilan.1 Walau bagaimanapun, keberkesanan ini bergantung kepada pemilihan kondom yang tepat serta cara penggunaannya yang betul.
Cara Memilih dan Menggunakan Kondom Lelaki dengan Tepat
Untuk meningkatkan keberkesanannya, kondom perlulah digunakan secara konsisten dan dengan betul setiap kali anda melakukan hubungan seksual. Berikut adalah beberapa tips mengenai cara memilih dan menggunakan kondom dengan betul.
Saiz Kondom
Saiz kondom memainkan peranan penting dalam menentukan keberkesanan kondom itu sendiri. Kondom yang terlalu kecil berisiko untuk koyak semasa hubungan seksual sekaligus mengurangkan keberkesanan untuk mencegah kehamilan dan penyebaran STD. Kondom yang terlalu besar pula mungkin tidak melekat dengan baik pada zakar dan mudah terlucut keluar semasa persetubuhan, atau pun terperangkap dalam faraj pasangan anda.2
Oleh itu, adalah penting untuk memilih saiz kondom yang sesuai dengan anda. Saiz kondom di Malaysia biasanya dikategorikan sebagai ‘snug fits’ (dengan lebar nominal sekitar 45-50mm), ‘standard fits’ (sekitar 52-54mm), dan ‘large fits’ (54-69mm).3
Bagi mengenal pasti saiz kondom yang sesuai untuk anda, anda boleh rujuk pada ukuran yang tertera di bungkusan produk atau laman web pengeluar.
Jenis Kondom
Faktor lain yang perlu diambil kira adalah jenis kondom. Terdapat dua jenis utama kondom yang tersedia di Malaysia, iaitu kondom lateks dan kondom bukan lateks. Kondom lateks boleh didapati secara meluas di pasaran dan merupakan pilihan ramai kerana sifatnya yang lebih elastik. Walau bagaimanapun, penting untuk diingatkan bahawa ia bukanlah pilihan yang sesuai jika anda mempunyai alergi terhadap lateks.4
Jika anda mengalami masalah alergi tersebut, anda boleh memilih kondom bukan lateks. Tetapi, perlu diingat bahawa beberapa jenis kondom bukan lateks mungkin tidak seberkesan kondom lateks dalam mencegah kehamilan. Sebagai contoh, kondom poliuretana kurang elastik, lebih longgar dan mudah koyak berbanding kondom lateks.5
Penggunaan Kondom yang Betul untuk Mencegah Kehamilan dengan Selamat
Cara penyimpanan dan penggunaan kondom memainkan peranan penting dalam memastikan keberkesanan kondom. Elakkan menyimpan kondom dalam dompet anda kerana haba dan geseran boleh merosakkan kondom, lalu menjadikannya kurang berkesan.6 Sebelum menggunakan kondom, penting juga untuk memeriksa tarikh luputnya. Jangan pernah gunakan kondom yang sudah tamat tempoh.7
Selain itu, penggunaan semula kondom adalah tindakan yang tidak boleh dilakukan. Ini kerana ia meningkatkan risiko kondom terlucut atau koyak semasa hubungan seks. Untuk merancang keluarga dengan selamat, sentiasa gunakan kondom yang baru setiap kali berhubungan seks.8
Di samping itu, pastikan anda hanya gunakan satu kondom pada satu masa. Terdapat salah tanggapan yang mengatakan bahawa penggunaan banyak kondom sekaligus dapat meningkatkan perlindungan; namun sebenarnya, tindakan ini hanya boleh menyebabkan lebih banyak geseran dan meningkatkan risiko kondom untuk koyak.9
Cara Memakai, Menanggalkan, dan Membuang Kondom dengan Betul
Mengetahui cara yang betul untuk memakai, menanggalkan dan membuang kondom adalah sangat penting. Jika proses ini tidak dilakukan dengan betul, kondom boleh menjadi rosak dan tidak berkesan.10
Langkah pertama, buka pembungkus kondom dengan berhati-hati dan keluarkan kondom itu. Mengoyakkan pembungkus dengan kasar boleh merosakkan kondom di dalamnya. Kemudian, letakkan kondom pada hujung zakar yang tegang dan buka gulungan perlahan-lahan sehingga mencapai pangkal zakar.10
Selepas hubungan seksual, pastikan anda memegang kondom dengan cermat sebelum mengeluarkan zakar daripada faraj. Ini akan membantu mengelakkan kondom daripada terlucut keluar. Kemudian, dengan berhati-hati, tanggalkan kondom dan buangkannya ke dalam tong sampah. Jangan buang kondom ke dalam lubang tandas kerana ia boleh menyebabkan tandas tersumbat.10
Rancang Keluarga Anda dengan Selamat Melalui Penggunaan Kondom yang Betul
Kondom digunakan secara meluas untuk mencegah kehamilan yang tidak diingini dan jangkitan penyakit kelamin (STD). Adalah penting untuk anda menyimpan dan menggunakan kondom dengan betul bagi memastikan keberkesanannya.
Walau bagaimanapun, anda tidak boleh bergantung 100% pada kondom sahaja untuk mencegah kehamilan kerana ada kalanya ia boleh pecah.11 Oleh itu, adalah lebih baik jika anda menggabungkan penggunaan kondom dengan kaedah kontrasepsi lain seperti kaedah kontrasepsi hormonal atau alat pencegah kehamilan dalam rahim (IUCD).
Layari blog Howuknow untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang pelbagai kaedah kontrasepsi yang tersedia di Malaysia. Bincanglah dengan pasangan anda sebelum membuat pilihan kaedah kontrasepsi yang paling sesuai untuk keperluan perancangan keluarga anda.
Rujukan
- https://www.plannedparenthood.org/learn/birth-control/condom/how-effective-are-condoms
- https://www.medicalnewstoday.com/articles/323707#_noHeaderPrefixedContent:~:text=Condom%20size%20is,uncomfortable%20during%20sex.
- https://productnation.co/my/7400/best-condom-small-size-malaysia/#:~:text=to%20go%20through.-,FAQ%3A,-%2D%20How%20Do%20I
- https://www.medicalnewstoday.com/articles/323707#:~:text=While%20manufacturers%20use%20latex%20to%20make%20the%20vast%20majority%20of%20condoms%2C%20some%20brands%20offer%20nonlatex%20alternatives%20for%20people%20who%20do%20not%20like%20latex%20or%20have%20allergies.
- https://www.verywellhealth.com/polyurethane-condoms-906781#:~:text=Because%20polyurethane%20condoms%20are%20less,reduce%20the%20risk%20of%20this
- https://metro.co.uk/2018/08/24/why-you-shouldnt-keep-a-condom-in-your-wallet-or-pocket-7879336/#:~:text=The%20condom%20in,cards%20and%20cash.
- https://www.medicalnewstoday.com/articles/323707#tips-for-use:~:text=Condoms%20are%20most,likely%20to%20break.
- https://www.news-medical.net/news/20180802/Condoms-should-not-be-reused-warns-CDC.aspx#:~:text=Reusing%20condoms%20after%20one,slip%2C%20break%20or%20leak.
- https://www.plannedparenthood.org/learn/birth-control/condom/how-effective-are-condoms#:~:text=You%20shouldn%E2%80%99t%20wear,protection%20you%20need.
- https://www.plannedparenthood.org/learn/birth-control/condom/how-to-put-a-condom-on
- https://my.clevelandclinic.org/health/drugs/9404-condoms#:~:text=Can%20condoms%20get%20you%20pregnant%3F