Bayer Logo Bayer Logo Bayer Logo Bayer Logo

HOWUKNOW BLOG

Jenis-Jenis Pil Perancang di Malaysia: Ketahui Pilihan Kontraseptif yang Berkesan untuk Anda

Posted on: Oktober 27, 2023

Alt tag

 

Pil perancang semakin dikenali di Malaysia sebagai kaedah kontraseptif untuk mencegah kehamilan yang tidak diingini. Kadar keberkesanannya yang tinggi, sehingga 99%, menjadikannya pilihan utama di kalangan ramai.1 

Pil perancang mengandungi hormon yang menghalang sperma daripada sampai ke telur selepas hubungan seksual. Ini menghalang persenyawaan dan sekaligus mencegah kehamilan.2 

Terdapat pelbagai jenis pil perancang yang tersedia di pasaran, dan inilah panduan ringkas untuk membantu anda memahaminya.

Pilihan Pil Perancang Terbaik di Malaysia untuk Mencegah Kehamilan

Untuk memastikan keberkesanannya, pil perancang perlu diambil setiap hari. Terdapat dua jenis utama pil perancang iaitu:

  • Pil perancang kombinasi. Pil ini mengandungi estrogen dan progestin. Ia menghentikan ovulasi dan menghalang ovari daripada mengeluarkan telur.3 Terdapat variasi jumlah estrogen dalam pil perancang kombinasi. Biasanya, pil kombinasi dos rendah adalah pilihan yang disyorkan kerana ia membawa risiko kesan sampingan dan hormon yang lebih rendah.
  • Pil mini. Pil ini hanya mengandungi progestin. Ia memekatkan lendir serviks dan menipiskan lapisan rahim. Ini menghalang sperma daripada bersenyawa dengan sel telur. Jika berlaku juga persenyawaan, ia masih dapat menghalang telur yang disenyawakan daripada melekat di dalam rahim.4

Dalam soal pilihan kaedah kawalan kelahiran, tiada satu pun kaedah yang sesuai untuk semua orang. Setiap individu berbeza dan keberkesanan pil perancang kehamilan bergantung kepada keperluan khas dan sejarah perubatan anda.

Sebagai contoh, wanita yang mempunyai sejarah penyakit kardiovaskular mungkin tidak boleh mengambil pil perancang yang mengandungi estrogen. Oleh itu, pil mini progestin boleh menjadi pilihan yang baik untuk mereka.5

Pil Perancang Kecemasan 

Pil perancang kecemasan, atau pil perancang selepas bersama adalah sejenis kontraseptif kecemasan yang diambil selepas hubungan seksual untuk mengelakkan kehamilan yang tidak diingini.

Berbeza dengan pil perancang kawalan harian, pil ini hanya diambil selepas hubungan seks tanpa perlindungan atau jika anda mengalami kegagalan kontraseptif seperti kondom yang koyak. Mengambil pil ini dalam tempoh yang ditetapkan pada bungkusan produk adalah penting untuk memastikan keberkesanannya.6

Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Keberkesanan Pil Perancang

Apabila memilih pil perancang, pastikan anda mengambil kira faktor penting seperti sejarah perubatan anda, gaya hidup, dan cara pengambilan. Anda boleh berunding dengan pakar perubatan untuk membuat keputusan yang lebih tepat berdasarkan faktor-faktor ini.

Pakar perubatan mempunyai kepakaran untuk menilai keperluan anda, menjawab sebarang pertanyaan dan memberikan cadangan yang bersesuaian. Mereka juga akan membimbing anda dalam pemilihan pil perancang kehamilan yang paling sesuai dan berkesan sambil meminimumkan potensi kesan sampingan.

Mitos-Mitos Umum Mengenai Pil Perancang

Terdapat beberapa mitos umum mengenai pil perancang yang menghalang orang ramai daripada menggunakan kontraseptif moden ini. Sesetengah wanita percaya bahawa pil perancang boleh menyebabkan masalah kesihatan dan menjejaskan kemampuan untuk hamil semula apabila mereka memutuskan untuk memiliki anak.

Wajarlah ditekankan di sini bahawa tiada bukti yang menunjukkan pil perancang boleh menjejaskan kesuburan wanita. Sebaik sahaja seorang wanita berhenti mengambil pil ini, dia berpeluang untuk hamil semula.7

Mitos-mitos sebegini boleh membawa kepada pemilihan kontraseptif yang kurang sesuai. Oleh itu, adalah penting untuk mengetahui fakta yang betul bagi membuat keputusan tepat.

Memahami Kesan Sampingan Pil Perancang

Seperti semua ubat, pil perancang juga boleh menyebabkan kesan sampingan seperti:

  1. Pendarahan ringan antara haid
  2. Mual
  3. Ketidakselesaan pada payudara
  4. Sakit kepala
  5. Perubahan mood

Walau bagaimanapun, kesan sampingan ini berbeza-beza mengikut individu dan biasanya akan hilang dalam tempoh 2 hingga 3 bulan.8 Jika kesan sampingan berlarutan, dapatkan nasihat pakar kesihatan untuk anda mencuba alternatif perancang yang lain.

Pil Perancang Kehamilan Original vs. Generik

Dalam bidang farmaseutikal kontraseptif, anda boleh membuat pilihan antara pil perancang original dan pil perancang generik. Pil original merujuk kepada ubat-ubatan asal yang dipatenkan oleh syarikat farmaseutikal pertama yang menemui ubat tersebut, manakala pil generik ialah pendua yang mengandungi bahan aktif yang sama.

Walaupun pil generik dihasilkan untuk menjadi setanding dengan pil original, ia mungkin mempunyai sedikit perbezaan dalam bahan tambahan atau formula. Perbezaan ini boleh menyebabkan reaksi yang tidak dijangka jika bertukar daripada pil original kepada pil generik.

Selain itu, pil original telah menjalani ujian yang meluas dan terbukti berkesan. Sebaliknya, pil generik tidak mempunyai penyelidikan yang mendalam sejajar dengan pil jenama asal untuk menyokong profil keberkesanan dan keselamatannya.

Kekalkan Kesihatan Reproduktif Anda dengan Pil Perancang yang Tepat

Memilih pil perancang yang betul adalah keputusan yang perlu dipertimbangkan dengan teliti. Kesihatan reproduktif anda mempengaruhi kesihatan anda secara menyeluruh, oleh itu, membuat pilihan terbaik berdasarkan keadaan anda adalah sangat penting.

Di Malaysia, pemilihan kaedah kontraseptif yang tepat mungkin membingungkan. Oleh itu, berjumpa dengan pakar kesihatan adalah cara terbaik untuk memahami fakta yang betul dan membuat keputusan yang sesuai dengan keperluan anda.

Layari Howuknow untuk memperoleh pengetahuan mengenai pelbagai kaedah kontraseptif bagi memastikan kesihatan reproduktif anda kekal terjaga.

Rujukan
  1. https://my.clevelandclinic.org/health/treatments/3977-birth-control-the-pill
  2. https://www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/birth-control/in-depth/best-birth-control-pill/art-20044807#:~:text=How%20do%20the%20different%20birth,sperm%20from%20joining%20the%20egg.
  3. https://www.mayoclinic.org/tests-procedures/combination-birth-control-pills/about/pac-20385282
  4. https://www.mayoclinic.org/tests-procedures/minipill/about/pac-20388306#:~:text=The%20minipill%20thickens%20cervical%20mucus,ovaries%20from%20releasing%20an%20egg.
  5. https://www.healthline.com/health/birth-control-without-estrogen#suitability
  6. https://my.clevelandclinic.org/health/treatments/23386-morning-after-pill
  7. https://www.ippf.org/blogs/myths-and-facts-about-contraceptive-pill
  8. https://www.medicalnewstoday.com/articles/290196#side-effects