Bayer Logo Bayer Logo Bayer Logo Bayer Logo

HOWUKNOW BLOG

Cara Moden Elak Hamil di Malaysia: Pil, Tampalan Kontraseptif dan Lain-Lain

Posted on: Oktober 20, 2023

Alt tag

 

Kaedah elak hamil atau kontraseptif moden memainkan peranan penting dalam perancangan keluarga dan mencegah kehamilan yang tidak diingini. Namun, penggunaan kaedah moden elak hamil di Malaysia masih rendah, hanya sekitar 34.3%.1

Dalam merancang keluarga, anda perlu membuat keputusan yang bijak tentang bilangan anak dan masa yang sesuai untuk mengembangkan keluarga. Di Malaysia, terdapat beberapa cara untuk mengelakkan kehamilan, termasuk pil perancang, kondom, alat cegah kehamilan (IUD), tampalan kontraseptif, dan gegelang kontraseptif.

Semua kaedah kontrasepsi ini telah terbukti dapat mengurangkan risiko kehamilan yang tidak diingini. Oleh itu, sangat penting untuk anda memahami cara-cara kontrasepsi yang sesuai dengan anda dan pasangan dalam merancang keluarga.

Pil Perancang

Pil perancang mengandungi hormon yang membantu mengawal haid dan mencegah kehamilan. Salah satu jenis pil perancang yang popular adalah pil perancang kombinasi.

Pil perancang kombinasi mengandungi gabungan dua hormon, iaitu estrogen dan progestin. Hormon-hormon ini bekerja untuk mencegah kehamilan dengan menghalang ovulasi, memekatkan lendir serviks, dan menipiskan lapisan rahim. Jika diambil secara konsisten setiap hari, pil perancang kombinasi mempunyai kadar keberkesanan yang tinggi sehingga 99%, menjadikannya kaedah kontrasepsi yang popular di Malaysia.2

Kebaikan Pil Perancang Kombinasi

Selain keberkesanannya yang tinggi, pil perancang kombinasi juga menawarkan kebaikan lain, termasuk:2

  • Haid lebih teratur dan kurang menyakitkan
  • Mengurangkan jerawat hormon
  • Melegakan simptom pra-haid (PMS)
  • Mengurangkan risiko kanser tertentu seperti kanser usus besar dan kanser endometrium.

Kesan Sampingan Pil Perancang Kombinasi

Walaupun pil perancang kombinasi mempunyai beberapa kebaikan, ia juga boleh menyebabkan kesan sampingan seperti:

  • Pendarahan ringan antara haid
  • Sakit pada payudara
  • Rasa mual
  • Sakit kepala

Kebanyakan kesan sampingan ini akan berkurang selepas 2 atau 3 bulan penggunaan.3 Jika anda masih mengalami kesan sampingan yang berterusan, rujuklah pakar kesihatan untuk pertukaran kepada pil perancang keluarga yang lain.

Tampalan Kontraseptif

Tampalan kontraseptif ialah sekeping tampalan kecil yang dilekatkan pada kulit anda sebagai cara untuk mengelakkan kehamilan. Tampalan ini melepaskan hormon estrogen dan progestin melalui kulit ke dalam badan.

Berbeza dengan pil yang diambil setiap hari, tampalan kontraseptif ditukar setiap minggu. Sama seperti pil, tampalan kontraseptif juga boleh menyebabkan kesan sampingan seperti iritasi kulit, mual dan sakit kepala.4

Cara Kontraseptif Lain

Cara untuk mengelakkan kehamilan tidak hanya terhad pada pil dan tampalan kontraseptif. Ini kerana, terdapat kaedah kontraseptif lain yang tersedia di Malaysia, termasuk:

  • Kondom. Selain mengelakkan kehamilan, kondom juga mencegah penularan penyakit kelamin (STD).5 Akan tetapi, penyimpanan dan penggunaan kondom yang betul adalah faktor utama dalam memastikan keberkesanannya.
  • Gegelang kontraseptif. Gegelang plastik kecil ini dimasukkan ke dalam faraj dan melepaskan hormon estrogen dan progestogen ke dalam aliran darah untuk mengelakkan kehamilan. Setiap gegelang memberikan perlindungan daripada kehamilan selama sebulan.6 Anda boleh memasang dan mencabut gegelang ini sendiri.
  • Implan kontraseptif. Rod plastik kecil ini dimasukkan ke dalam kulit lengan oleh pakar kesihatan. Ia melepaskan hormon progestogen ke dalam aliran darah anda untuk mengelakkan kehamilan.7 Implan kontraseptif merupakan salah satu alat kontrasepsi jangka panjang yang berkesan selama 3 tahun.8
  • Alat cegah kehamilan (IUD). Ini adalah satu lagi alat kontrasepsi jangka panjang yang bertahan selama 5 hingga 10 tahun. IUD ialah peranti kecil berbentuk T yang dimasukkan ke dalam rahim oleh pakar kesihatan. IUD jenis tembaga mencipta persekitaran yang toksik bagi sperma dan berfungsi untuk menghalang implantasi telur yang disenyawakan. Manakala IUD jenis hormon pula mengeluarkan hormon progestogen, kedua-dua jenis IUD ini berfungsi untuk mencegah kehamilan.9

 

Impak dan Pandangan Mengenai Kaedah Kontrasepsi Moden Terhadap Kesihatan Wanita

Kaedah kontraseptif moden seperti pil perancang telah memudahkan perancangan keluarga bagi pasangan di Malaysia. Ini membolehkan mereka mengawal saiz keluarga dan kewangan isi rumah dengan lebih baik.

Kaedah untuk mengelakkan kehamilan ini juga mempunyai kesan positif terhadap kesihatan wanita. Pil perancang dan tampalan kontraseptif memberikan kebaikan tambahan dalam mengurangkan kesakitan haid dan mengurangkan risiko kanser tertentu.

Walau bagaimanapun, kontraseptif adalah topik yang sering dielakkan oleh ramai orang kerana dianggap sebagai perkara tabu. Penggunaan media sosial yang meluas kini memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran tentang pelbagai kontraseptif yang terdapat di pasaran, memberi peluang kepada banyak keluarga untuk mengambil langkah berjaga-jaga yang diperlukan bagi mencegah kehamilan yang tidak diingini.

Rujuk Pakar Kesihatan dan Pilih Cara untuk Elak Hamil yang Selamat

Terlalu banyak anggapan yang salah mengenai kaedah kontraseptif. Ramai orang enggan mencuba kaedah kontraseptif moden kerana bimbang akan kesannya yang membahayakan.

Jadi, bertanya kepada pakar kesihatan adalah cara terbaik untuk memahami kebaikan dan keburukan setiap kaedah kontraseptif moden, dan pada masa yang sama, dapat mengenal pasti kaedah yang sesuai untuk anda.

Layari Howuknow untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kaedah kontraseptif di Malaysia.

Rujukan
  1. https://codeblue.galencentre.org/2020/12/11/making-sense-of-malaysias-contraceptive-prevalence-rate-dr-john-teo/
  2. https://www.nhs.uk/conditions/contraception/combined-contraceptive-pill/#:~:text=At%20a%20glance%3A%20the%20combined,get%20pregnant%20in%201%20year
  3. https://www.plannedparenthood.org/learn/birth-control/birth-control-pill/what-are-the-disadvantages-of-the-pill
  4. https://www.mayoclinic.org/tests-procedures/birth-control-patch/about/pac-20384553
  5. https://www.cdc.gov/condomeffectiveness/brief.html#:~:text=Consistent%20and%20correct%20use%20of,absolute%20protection%20against%20any%20STD.
  6. https://www.nhs.uk/conditions/contraception/vaginal-ring/#:~:text=The%20vaginal%20ring%20(NuvaRing)%20is,the%20bloodstream%20to%20prevent%20pregnancy.
  7. https://www.nhs.uk/conditions/contraception/contraceptive-implant/
  8. https://my.clevelandclinic.org/health/treatments/23269-larc
  9. https://www.nhs.uk/conditions/contraception/iud-coil/#:~:text=An%20IUD%20is%20a%20small,between%205%20and%2010%20years.