CARA-CARA MENGATASI KESAKITAN YANG DISEBABKAN OLEH ENDOMETRIOSIS
Posted on: Oktober 26, 2023
Endometriosis merupakan penyakit kronik di mana tisu yang melapisi bahagian dalam rahim, dikenali sebagai endometrium, mula tumbuh di luar rahim. Setiap kali kitaran haid, tisu endometrium sepatutnya berkembang dan kemudiannya gugur keluar dari rahim sebagai darah haid.1
Namun, semua tisu yang tumbuh di luar rahim tidak mempunyai laluan untuk keluar dari badan. Ini menyebabkan keradangan, rasa sakit dan terkadang mendorong kepada pembentukan 'cyst'.
Endometriosis seringkali mengakibatkan kesakitan di kawasan pelvis, terutamanya semasa haid. Bagi sesetengah orang, hubungan seksual serta proses membuang air kecil dan besar juga menyakitkan.1
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, endometriosis menjejaskan sehingga 10% wanita yang sedang dalam usia reproduktif di seluruh dunia.2 Walaupun tiada penawar untuk penyakit endometriosis, pengesanan awal dan rawatan susulan adalah penting untuk mengurangkan gejala.
Diagnosis Endometriosis: Memahami Cara Mengesannya
Jika anda mengalami sakit pelvis yang teruk, terutamanya semasa haid, anda mungkin mengalami gejala endometriosis. Adalah lebih baik jika anda berjumpa dengan pakar ginekologi dan menjalani ujian diagnostik yang berkaitan. Proses mendiagnos endometriosis di Malaysia melibatkan kombinasi penilaian sejarah penyakit, pemeriksaan fizikal, dan pengimejan perubatan.
Meneliti Sejarah Perubatan
Langkah pertama dalam proses diagnostik akan melibatkan pakar ginekologi mengambil maklumat mengenai sejarah perubatan anda. Ini merangkumi soalan-soalan berkaitan haid dan sebarang kesakitan yang anda alami.3 Anda juga mungkin diminta untuk menilai tahap kesakitan anda mengikut skala 1 hingga 10 supaya pakar ginekologi dapat lebih memahami intensiti kesakitan anda.
Pemeriksaan Pelvis
Selepas mengambil maklumat sejarah perubatan anda, pakar ginekologi akan menjalankan ujian pemeriksaan pelvis. Ini dilakukan dengan menekan bahagian perut anda untuk memeriksa sebarang tanda tidak normal seperti ‘cyst’. Biasanya, pakar ginekologi akan memakai sarung tangan lalu memasukkan dua jari ke dalam faraj sambil menekan bahagian perut untuk memeriksa rahim dan ovari.4
Ultrabunyi
Langkah seterusnya adalah untuk melihat keadaan dalaman perut dan pelvis dengan menggunakan pengimejan perubatan. Pakar ginekologi anda mungkin meminta anda menjalani ujian ultrabunyi transvaginal yang memasukkan alat ke dalam faraj untuk mengambil gambar rahim, ovari, dan tiub fallopio anda. Walaupun ujian ini tidak dapat mengesan penyakit endometriosis, ia masih membantu dalam mengenalpasti sebarang struktur tidak normal seperti ketumbuhan ataupun ‘cyst’.5
Imbasan MRI
Satu lagi ujian pengimejan perubatan yang digunakan dalam proses mendiagnos endometriosis ialah MRI. Anda akan diminta berbaring diam sambil mesin MRI mengambil gambar terperinci bahagian dalam tubuh anda. Gambar-gambar ini dapat memberikan maklumat lanjut tentang tempat tisu endometrium tumbuh di kawasan pelvis anda.6
Laparoskopi
Untuk pengesahan lanjut, pakar ginekologi anda mungkin meminta anda menjalani laparoskopi. Ini bermaksud satu potongan kecil akan dibuat di bahagian perut anda dan satu alat laparoskopi akan dimasukkan untuk mencari sebarang tisu endometrium yang tumbuh di luar rahim. Selain itu, sampel tisu juga mungkin diambil untuk merancang rawatan yang seterusnya.7
Rawatan Endometriosis
Selepas diagnosis, pakar ginekologi anda akan membincangkan pilihan rawatan untuk mengurangkan gejala endometriosis anda. Ini biasanya melibatkan ubat atau pembedahan, bergantung kepada keparahan keadaan anda. Antara pilihan rawatan untuk endometriosis termasuk pengambilan ubat tahan sakit, terapi hormon, dan pembedahan konservatif.8
Peranan Pil Progesteron-Sahaja dalam Mengendalikan Sakit Endometriosis
Pil progesteron-sahaja boleh membantu mengurangkan kesakitan yang disebabkan oleh endometriosis. Pil ini mengandungi progesteron sintetik, iaitu hormon yang dihasilkan secara semulajadi oleh ovari semasa separuh kedua kitaran haid.9
Ia membantu menyekat pertumbuhan endometrium, seterusnya mengurangkan tisu yang tumbuh di luar rahim dan keradangan di luar rahim. Dengan ini, kesakitan yang diakibatkan oleh endometriosis juga dapat dikurangkan.9
Endometriosis berpotensi mengurangkan peluang untuk hamil. Oleh itu, amatlah penting untuk anda mendapatkan rawatan awal bagi mengekalkan kesuburan. Jadi, berbincanglah dengan pakar ginekologi anda bagi mendapatkan maklumat tentang cara mengatasi masalah kesuburan akibat endometriosis dan cara lain yang dapat mengurangkan kesakitan akibat endometriosis.9
Rujuk Pakar Ginekologi sebelum Mengambil Sebarang Tindakan
Endometriosis merupakan penyakit kronik yang memerlukan pengurusan jangka panjang. Jika anda mengalami gejala seperti sakit pelvis dan senggugut yang teruk, berjumpalah dengan pakar ginekologi di Malaysia untuk diagnosis rasmi. Ini membolehkan anda memulakan rawatan yang diperlukan untuk simptom anda. Elakkan daripada mengambil ubat sendiri tanpa diagnosis daripada pakar perubatan.
Memerlukan maklumat lanjut? Layari Howuknow mendapatkan maklumat lanjut tentang pelbagai kaedah kontrasepsi yang tersedia di Malaysia.
Rujukan
- https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/endometriosis/symptoms-causes/syc-20354656
- https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/endometriosis
- https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/10857-endometriosis#:~:text=Once%20at%20an%20appointment%2C%20your%20provider%20(typically%20an%20Ob%2DGyn)%20may%20start%20by%20asking%20you%20for%20your%20personal%20medical%20history%2C%20about%20any%20previous%20pregnancies%20and%20if%20any%20other%20people%20in%20your%20family%20have%20endometriosis.
- https://endometriosisnews.com/endometriosis-diagnosis/pelvic-exam/
- https://www.healthline.com/health/endometriosis/endometriosis-ultrasound
- https://www.medicalnewstoday.com/articles/endometriosis-mri
- https://www.healthline.com/health/endometriosis/laparoscopy-for-endometriosis
- https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/endometriosis/diagnosis-treatment/drc-20354661#:~:text=Ultrasound-,Treatment,-Treatment%20for%20endometriosis
- https://www.healthline.com/health/endometriosis/birth-control-for-endometriosis#types-of-birth-control:~:text=for%20endometriosis%20include%3A-,Progestin%2Donly%20therapy,-Progestin%20is%20a