Bayer Logo Bayer Logo Bayer Logo Bayer Logo

HOWUKNOW BLOG

Peranan Implan Kontraseptif sebagai Kaedah Pencegah Kehamilan

Posted on: November 15, 2023

Alt tag

 

Implan kontraseptif adalah rod kecil yang dimasukkan di bawah lapisan kulit (subdermal) di bahagian tengah lengan atas oleh pakar perubatan.

Implan kontraseptif berfungsi dengan melepaskan hormon progestin ke dalam aliran darah. Progestin mencegah ovulasi, memekatkan lendir serviks, dan menipiskan lapisan rahim, semuanya ini dapat membantu untuk mencegah kehamilan.1

Manfaat Perancang Kehamilan Implan

Alat pencegah kehamilan implan adalah sejenis kontrasepsi jangka panjang yang berkesan selama 3 tahun. Ia mempunyai kadar keberkesanan sehingga 99%.2

Selain daripada keberkesanannya yang tinggi, implan kontraseptif juga memberikan manfaat lain. Alat pencegah kehamilan ini hanya melepaskan satu jenis hormon, iaitu progestin, jadi ia adalah pilihan yang baik untuk mereka yang tidak sesuai menggunakan kontraseptif berasaskan estrogen.

Prosedur Pemakaian Implan Perancang Kehamilan

Jika anda membuat keputusan untuk mendapatkan implan perancang, langkah pertama adalah berjumpa dengan doktor pakar. Doktor anda akan meneliti sejarah perubatan anda, dan mungkin juga memberikan pemeriksaan fizikal, untuk menilai sama ada implan adalah kontraseptif yang sesuai untuk anda.

Selepas itu, doktor akan memberikan suntikan (ubat bius) yang menyebabkan rasa kebas pada bahagian di mana pemasangan implan akan berlaku. Kemudian, doktor akan menggunakan alat khas seperti jarum untuk memasukkan implan perancang, yang kira-kira sebesar sebatang mancis, di bawah kulit anda.

Kesan suntikan kebas akan menyebabkan anda terasa sedikit pedih, tetapi selepas itu, semasa implan dimasukkan, anda tidak akan rasa sakit. Proses pemakaian implan hanya mengambil masa beberapa minit.4

Penjagaan Selepas Pemasangan Implan Perancang Kehamilan 

Sebaik sahaja kesan kebas hilang, lengan anda mungkin terasa sakit pada bahagian implan dipasang, tetapi kesakitan ini tidak akan berlarutan dan akan segera pulih. Kebiasaannya, selepas memasukkan implan perancang, bahagian yang disuntik akan terasa sakit selama beberapa hari.3 Jadi, anda perlu mengikut nasihat doktor tentang cara mencuci dan menjaga kulit di sekitar implan dipasang.

Jika anda mengalami sebarang masalah seperti sakit yang berlarutan atau jangkitan, pastikan untuk berjumpa dengan doktor anda.4

Kesan Selepas Pemakaian Implan Kontraseptif

Implan kontraseptif boleh menyebabkan kesan sampingan seperti:

  • Perubahan dalam pendarahan haid
  • Sakit kepala
  • Jerawat
  • Sakit payudara
  • Perubahan mood

 

Kesan ini mungkin berbeza bagi setiap individu dan akan segera reda dalam masa beberapa bulan. Walau bagaimanapun, jika anda mengalami kesan sampingan yang berterusan, dapatkan nasihat doktor anda. Mungkin terdapat cara untuk merawat kesan sampingan, atau anda boleh mencuba kaedah kontraseptif yang lain.

Pembuangan Implan Perancang Kehamilan

Implan perancang kehamilan berkesan selama 3 tahun. Selepas tempoh ini, anda perlu mengeluarkan implan dan menggantikannya dengan yang baru atau menggunakan kaedah kontraseptif yang lain. Anda juga boleh mengeluarkannya lebih awal jika anda ingin hamil, atau jika kesan sampingan implan berterusan.

Doktor anda akan mula-mula menyentuh lengan anda untuk mencari di mana implan berada. Kemudian, doktor akan memberikan suntikan kebas pada kawasan tersebut. Seterusnya, doktor akan membuat torehan kecil pada kulit anda dan dengan lembut mengeluarkan implan. Akhir sekali, doktor akan membalut bahagian lengan untuk memastikan kawasan tersebut kering dan bersih.5

Berbincang dengan Pakar Sebelum Memasang Implan Perancang Keluarga

Bagi menentukan sama ada implan perancang adalah pilihan yang tepat atau tidak, anda perlulah berbincang dengan pakar kesihatan terlebih dahulu. Berdasarkan kesihatan dan gaya hidup anda, pakar profesional boleh memberikan nasihat khas untuk anda.

Dengan bimbingan pakar, anda boleh membuat keputusan yang lebih tepat mengenai pilihan kontraseptif anda. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai implan perancang dan kaedah kontraseptif lain, layari Howuknow hari ini.

Rujukan
  1. https://my.clevelandclinic.org/health/articles/24564-contraceptive-implant
  2. https://www.nhs.uk/conditions/contraception/how-effective-contraception/#:~:text=Contraceptive%20implant%3A%20more%20than%2099,%3A%20more%20than%2099%25%20effective.
  3. https://www.plannedparenthood.org/learn/birth-control/birth-control-implant-nexplanon/what-happens-when-the-birth-control-implant-is-inserted
  4. https://www.webmd.com/sex/birth-control/birth-control-implants-types-safety-side-effects
  5. https://www.unitysexualhealth.co.uk/contraception/removal-contraceptive-implant/