Cara-Cara Mengurangkan Kesan Sampingan Pil Perancang seperti Loya, Sakit Kepala, dan Payudara Bengkak
Posted on: Mac 23, 2023
Pil perancang juga dikenali sebagai pil pencegah kehamilan atau pil kontraseptif oral. Pil ini digunakan untuk mengelak atau menjarakkan kehamilan bagi memelihara kesihatan ibu dan bayi.
Pil perancang amat berkesan dalam merancang keluarga, tetapi ia juga boleh menyebabkan kesan sampingan apabila diambil pada kali pertama. Teruskan membaca artikel ini untuk mengetahui cara-cara mengurangkan kesan sampingan pil perancang seperti:
Loya
Pil perancang akan menyebabkan perasaan loya atau muntah-muntah apabila diambil buat pertama kali. Biasanya kesan sampingan ini akan berkurangan dengan sendiri selepas beberapa hari atau minggu.1
Tambahan pula, perasaan loya boleh diringankan jika pil perancang diambil bersama sedikit makanan seperti biskut dan roti, atau diambil sebelum masuk tidur.
Walau bagaimanapun, perasaan loya juga boleh bertambah serius bagi sesetengah wanita. Jika ini berlaku kepada anda, dapatkan nasihat doktor sebelum meneruskan pengambilan pil perancang anda.
Sakit Kepala
Kandungan hormon dalam pil perancang juga boleh menyebabkan sakit kepala dan migrain. Disebabkan kepelbagaian jenis dan dos hormon dalam pil perancang berbeza, simptom sakit kepala adalah berlainan bagi sesetengah individu.2
Walaupun sakit kepala dan migrain akan beransur hilang, kaum wanita dinasihatkan untuk berehat dan tidur selepas mengambil pil perancang. Adalah lebih baik jika aktiviti seperti bersenam, berlari, atau kerja-kerja rumah dielakkan buat sementara waktu.
Jika simptom sakit kepala bertambah teruk, bincang dengan doktor anda untuk mendapatkan kaedah perancang alternatif seperti diafragma atau IUD.
Rasa Bengkak pada Payudara
Dalam sesetengah kes, pil perancang akan menyebabkan payudara terasa bengkak dan tidak selesa. Sebagaimana dalam situasi sakit kepala dan migrain, simptom ini adalah disebabkan oleh hormon dalam pil perancang.
Namun, rasa bengkak dan tidak selesa ini hanyalah untuk sementara. Bagi mengurangkan kesakitan pada payudara, hadkan pengambilan kafein dan garam dalam pemakanan harian. Dalam masa beberapa minggu, simptom akan berkurangan.3
Sekiranya kesakitan berlarutan selepas beberapa minggu, hubungi doktor anda untuk menjalani pemeriksaan lanjut.
Pendarahan antara Tempoh Haid
Pendarahan antara tempoh haid juga dikenali sebagai ‘pendarahan kecil intermenstrual’ atau ‘pendarahan vagina/faraj’.
Simptom ini adalah normal, dan merupakan kesan daripada interaksi badan anda dengan hormon pil perancang pada pertama kali. Pendarahan antara tempoh haid biasanya berlaku dalam tempoh 3 bulan pertama selepas anda mula mengambil pil perancang.4
Namun, jika pendarahan ini berlangsung lebih dari 5 hari (atau pendarahan menjadi lebih teruk dalam tempoh 3 hari), hubungi doktor anda segera.
Terlepas Haid
Berbeza dengan pendarahan antara tempoh haid, sesetengah wanita pula tidak datang haid pada waktu yang sepatutnya apabila mengambil pil perancang. Jika haid datang pun, hanyalah beberapa titik yang sangat sedikit.
Simptom ini lazim berlaku dan bukanlah suatu masalah serius. Tambahan pula, perubahan kitaran haid boleh disebabkan oleh beberapa faktor lain seperti tekanan stres, perubahan tabiat pemakanan, atau senaman tidak berkala.5
Bagi memastikan punca sebenar anda terlepas haid bukan disebabkan kehamilan, lakukan ujian kehamilan di rumah. Jika keputusan ujian kehamilan negatif tetapi haid anda tidak normal selepas 2 bulan, hubungi doktor anda.
Naik Berat Badan
Tiada bukit kukuh yang mengaitkan kenaikan berat badan dengan pengambilan pil perancang.6
Walau bagaimanapun, ramai wanita akan mengalami masalah ‘bengkak air’ (atau fluid retention) pada bahagian payudara dan pinggang selepas mula mengambil pil perancang.
Bagi mengatasi masalah ini, lebihkan minum air (sebaik-baiknya 8 gelas sehari) dan hadkan pengambilan garam dalam makanan harian.7
Lelehan Faraj
Lelehan faraj adalah sebahagian fisiologi normal untuk tubuh wanita. Ia berfungsi untuk ‘membersihkan’ faraj dan biasanya jernih atau putih dan tidak ada sebarang bau.
Pengambilan pil perancang boleh meningkatkan atau mengurangkan lelehan faraj. Perubahan pada pengeluaran lendir ini secara lazimnya tidak berbahaya dan tidak menyakitkan.8
Namun demikian, jika terdapat sensasi gatal, lelehan keputihan atau tidak berwarna cair, atau berlakunya jangkitan, dapatkan nasihat daripada doktor.
Perubahan Mood atau Keinginan Seksual
Disebabkan perubahan pada penghasilan lendir dalam faraj, sesetengah wanita akan mengalami libido yang turun-naik.
Dalam kes-kes serius, minat untuk bersama pasangan akan berkurangan selepas mengambil pil perancang. Keadaan ini boleh menjejaskan hubungan antara suami isteri.
Tetapi sama dengan simptom lain yang disebutkan di atas, perubahan libido ini adalah untuk sementara waktu. Keinginan seksual akan kembali dalam beberapa minggu selepas badan anda menyesuaikan keadaannya dengan pil perancang.9
Walau bagaimanapun, jika perubahan mood ini turut menyebabkan gangguan emosi, pasangan adalah digalakkan untuk menghubungi doktor.
Kesimpulan
Simptom-simptom dari pengambilan pil perancang kebanyakannya bersifat normal dan adalah tidak berbahaya. Dalam sesetengah kes, perasaan ketidakselesaan akan hilang secara beransur-ansur.
Jika anda mempunyai keraguan tentang reaksi badan anda terhadap penggunaan pil perancang, bincang dengan doktor atau pakar farmasi untuk mendapat kaedah alternatif perancang yang sesuai untuk anda.
Selain itu, layari blog kami untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai pencegahan kehamilan dan perancangan keluarga.
Jangan lupa untuk berbual dengan Maya mengenai kaedah pencegahan kehamilan yang sesuai untuk anda melalui aplikasi Ask Maya.
Rujukan
- https://www.webmd.com/sex/birth-control/nausea-from-birth-control-pills
- https://www.healthline.com/health/birth-control/birth-control-headaches
- https://www.womenshealthmag.com/health/a21347535/hormonal-birth-control-side-effects/
- https://www.medicalnewstoday.com/articles/321394#causes
- https://flo.health/menstrual-cycle/sex/birth-control/reasons-for-missed-period-on-birth-control
- https://origin.bharian.com.my/wanita/sihat/2019/10/617398/perancang-keluarga-bukan-punca-gemuk-k urang-intim
- https://www.livestrong.com/article/543626-how-to-get-rid-of-water-weight-caused-by-the-pill/
- https://www.netdoctor.co.uk/ask-the-expert/sex-faqs/a11291/is-the-pill-causing-my-vaginal-discharge/
- https://www.forhers.com/blog/can-birth-control-lower-sex-drive